Soalan:SAYA berusia 35 tahun dan mempunyai seorang anak yang masih menyusu badan. Apakah cara terbaik untuk membolehkan saya terus menyusukan anak kerana saya ingin berpuasa. Apakah saya memerlukan makanan tambahan untuk memastikan air susu saya terus keluar sepanjang Ramadan? Apakah dengan menyusu badan sepanjang Ramadan, kesihatan saya boleh terjejas?
RosniKota Bharu, Kelantan.
Jawapan:
MENGIKUT saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kalori yang diperlukan oleh seseorang ibu yang menyusu adalah sebanyak 2,700 kcal setiap hari untuk enam bulan pertama dan 2,950 kcal selepas bayi berusia enam bulan ke atas.
Bagi seseorang wanita yang tidak hamil dan tidak menyusu, keperluan kalorinya adalah sebanyak 2,200 kcal setiap hari.
Penyusuan memerlukan banyak tenaga. Selain daripada pemakanan, tenaga ini juga datangnya daripada lemak-lemak yang terkumpul pada ibu ketika hamil.
Dengan itu, menyusu badan adalah salah satu cara untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin. Lemak yang terkumpul ini akan habis digunakan dalam masa enam bulan penyusuan sepenuh masa.
Oleh sebab itu secara teorinya, keperluan kalori selepas enam bulan bersalin meningkat kepada 2,950 kcal. Penambahan tenaga ini perlulah diperoleh daripada pemakanan dan minuman sehari-hari.
Secara praktiknya, seseorang ibu masih boleh menyusui anaknya walaupun pengambilan pemakanan tidak mencukupi kalori yang diperlukan.
Kajian terhadap ibu-ibu di Gambia dengan tenaga yang didapati hanyalah sebanyak 1,474 kcal sehari, mereka masih berupaya untuk menyusui bayi mereka secara jayanya untuk masa yang agak lama walaupun pengambilan pemakanan tidak mencukupi pada musim kemarau.
Keadaan ini boleh berlaku kerana ibu yang menyusu menggunakan tenaga yang ada dengan sebaik mungkin untuk manfaat kepada bayi yang sedang disusukan.
Dalam keadaan ibu menyusu dan masih ingin berpuasa, kemungkinan besar ia boleh dilakukan. Bagaimanapun, jika pengeluaran susu berkurangan, ibu dibenarkan untuk berbuka puasa.
Puasa yang ditinggalkan perlu diganti semula pada hari-hari lain. Ramadan adalah bulan penuh rahmah dan barakah. Seseorang ibu yang tidak dapat berpuasa tidak bermakna dia tidak boleh melakukan amalan lain seperti berzikir, bersolat dan membaca al-Quran bagi menyemarakkan Ramadan dan berharap kepada ganjaran pahala dan keampunan.
Salah satu cara untuk mengatasi kekeringan susu ketika berpuasa ialah dengan memerah susu sebelum Ramadan tiba dan menyimpan perahan susu di dalam peti sejuk.
Tempoh penyimpanan perahan susu adalah seperti berikut:
- Satu hingga dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
- Dua minggu jika disimpan di ruang sejuk beku di dalam peti sejuk.
- Tiga bulan jika disimpan di dalam tempat sejuk beku dengan pintu berasingan daripada peti sejuk.
- Enam hingga 12 bulan jika disimpan di dalam tempat sejuk beku yang berasingan.
Perahan susu yang dibekukan ini perlu dicairkan dengan merendam botolnya dalam air suam (bukan mendidih) sebelum diberikan kepada bayi.
Jangan sesekali menggunakan ketuhar gelombang untuk mencairkan susu yang beku ini.
Perahan susu ibu yang sudah dikeluarkan daripada peti sejuk dan dipanaskan perlu dibuang jika tidak diminum dalam masa satu jam.
Ibu yang menyusu perlu memastikan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang. Begitu juga, keperluan cecair adalah sekurang-kurangnya dua liter setiap hari.
Cecair perlu diambil sebanyak mungkin selepas berbuka puasa hinggalah pada masa tidur.
Sumber Dari : Berita Harian Online






No comments:
Post a Comment